Beberapa hari ini media kecoh mempromosikan mengenai nasi lemak yang dikatakan sebagai punca obesiti. Hairan bin ajaib kenyataan ini dikeluarkan oleh seorang menteri. Baiklah saya tidak mahu mengulas kenyataan menteri yang bijaksana itu.
Pandangan saya bukanlah makanan itu yang perlu disalahkan sepenuhnya. Ia umpama menjatuhkan hukuman gantung mandatori kepada Nasi Lemak. Jujurnya saya amat tidak bersetuju dan tidak menyokong.
Sebenarnya, bukanlah menjadi kesalahan jika kita hendak makan nasi lemak. Persoalan sebenarnya ialah gaya hidup kita, adakah kita bersenam setiap hari sama seperti kita makan nasi lemak pada setiap hari?
Saya mengambil contoh diri saya sendiri, sewaktu zaman saya bersekolah dahulu. Saya secara aktif pada setiap petang akan menjalani latihan hoki di sekolah. Disebabkan itu, secara tidak sengaja juga pada setiap petang saya akan bersukan dan mengeluarkan peluh tanpa disedari.
Pada masa itu juga hampir setiap hari sarapan saya nasi lemak dan kuantiti makanan yang diambil pada setiap hari agak besar. Itu adalah zaman kesihatan saya di tahap yang terbaik dan tidak pernah langsung pergi berjumpa dengan doktor.
Bagaimanapun, pada masa ini (iaitu selepas tamat sekolah) kehidupan saya sudah mula berubaha 360 darjah. Waktu senaman yang mana dahulunya 7 hari seminggu sudah berubah menjadi empat kali sebulan. Akibatnya, perut mula bertambah 'sihat'. (^_^)
Oleh itu, saya amat tidak bersetuju andainya sepuluh jari menunding kepada nasi lemak dan berterusan menyalahkan nasi lemak sebagai punca utama obesiti. Apa salahnya nasi lemak yang sudah berpuluh tahun menjadi pilihan hati rakyat Malaysia.
Seharusnya kita perlu merancang dan menjalani gaya hidup yang lebih sihat. Misalnya pilihlah untuk menggunakan tangga berbanding 'lift', tetapkan masa untuk bersukan dan sentiasa aktifkan diri. Islam juga mahukan umatnya menjadi orang yang sihat.
Malah remaja yang aktif dan sihat juga apa diperlukan oleh negara pada masa hadapan untuk menjadi pemimpin yang bakal meneraju Malaysia. Ayuh kita amalkan gaya hidup sihat.
Membaca menyihatkan minda, bersukan menyihatkan badan. Seimbangkan kedua-duanya supaya hidup kita terus mendapat kesihatan yang terbaik.
Sumber piramid makanan di sini
No comments:
Post a Comment