IKLAN

Orang hebat!

Saturday, May 7, 2011

Perpisahan itu pasti.

Alhamdulillah, beberapa hari yang lalu saya diberi kesempatan menambah satu tahun lagi peluang untuk menambah pengalaman hidup di planet bumi ini. Meskipun demikian, setiap pertemuan ada perpisahan.

Kata jiran saya, "Dalam hidup yang normal, pertemuan dan perpisahan itu adalah proses untuk kita mengenali diri." Perpisahan ini berlaku setelah saya bersama dengannya seawal usia saya 12 tahun. Kini usia saya sudah genap 22 tahun. 10 tahun bukanlah waktu yang singkat untuk kita melupakan segaja jasa dan pergorbanan yang telah dilakukannya demi saya.

Sepanjang terjalinnya perhubungan ini, kami sering bersama berdua ke mana-mana. Ia tetap setia berada di sisi saya. Ada masanya kami berpanas dan basah disiram hujan. Namun ia tetap setia bersama dengan saya. Mungkin dia faham bahawa perhubungan yang baik itu memerlukan pengorbanan. Kata ustaz yang sering berceramah di surau dahulu, "Cinta tanpa pengorbanan umpama durian yang hilang baunya. Walau mata sedap memandang tetapi tiada bau yang memikat."

Sepanjang perhubungan kami, terdapat satu peristiwa yang saya tidak dapat lupakan hingga hari ini. Peristiwa hitam itu berlaku dalam sekelip mata dan terus menyebabkan dia tidak aktif seperti biasa. Ketika saya dan keluarga pergi bercuti di Port Dickson. Saya telah secara tidak sengaja membawanya masuk ke dalam laut. Saya hampir terlupa bahawa dia alah kepada air masin.

Akibatnya, mulai dari saat itu keadaan dia sudah tidak lagi seperti dahulu. Ia sudah mula tidak aktif lagi. Disebabkan itu saya terpaksa melupakan dia buat sementara. Ketika berurusan dengan pihak bank. Saya seringkali ditegur supaya berpisah dengan dia dan pergi mencari pengganti yang lebih cantik dan aktif. Saya masih ingat lagi kata kerani bank itu, "Sekarang ini sudah tidak lagi seperti dahulu. Jika mahu ganti sungguh cepat. Yang baru lebih cantik dari yang ini."

Bagaimanapun saya terpaksa memekakkan telinga. Dia telah bersama dengan saya selama 10 tahun. Amat mustahil untuk saya melupakan dan berpisah dengan dirinya. Tetapi beberapa hari sebelum tibanya detik perpisahan kami, saya telah bertemu lagi dengan kerani bank. Entah mengapa, kerani bank kali ini sungguh bertegas mahukan saya berpisah dengan dia. Sikap kerani bank itu boleh saya katakan umpama orang ketiga yang menjadi punca kepada perpisahan kami.

Disebabkan itu pada hari ulangtahun kelahiran yang lepas. Saya terpaksa berpisah dengan dia setelah 10 tahun kami bersama. Moga penggantinya lebih baik dan terus kekal bersama dengan saya. Tidak rela untuk berpisah buat kali yang ke dua.

Selamat tinggal kad pengenalan darjah 6...


No comments:

ahmad din