IKLAN

Orang hebat!

Friday, June 12, 2009

El Nino melanda Malaysia.

Cuaca hari ini seperti mendung yang hendak hujan. Namun demikian mendung pada hari ini bukanlah mendung yang akan menurunkan hujan. Tetapi mendung ini menunjukkan bahawa jerebu telah melanda Malaysia sekali lagi. Saluran berita television memberitahu bahawa terdapat titik-titik panas di Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak.

Pihak Bomba telah menasihatkan semua pengguna supaya tidak melakukan pembakaran terbuka. Pihak Bomba juga telah meminta supaya melaporkan kepada pihak Bomba jika melihat berlakunya pembakaran terbuka di tempat anda.


Pihak Bomba boleh dihubungi di talian kecemasan 999. Peringatan! Talian 999 ini bukan talian untuk bermain-main. Talian 999 adalah talian kecemasan.


10 jun 2009 (Utasan Malaysia)

GENTING HIGHLANDS 9 Jun - Malaysia bakal berdepan dengan fenomena El Nino mulai Ogos ini selepas Jabatan Meteorologi mengesahkan cuaca panas dan kering yang melanda sekarang akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga September nanti.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas, bagaimanapun berkata, fenomena El Nino itu dijangka berada dalam julat pemanasan yang terkawal.

''Walaupun fenomena El Nino ini adalah fenomena alam tetapi kerajaan akan terus melaksanakan langkah proaktif bagi mengurangi faktor-faktor yang boleh menjadi petunjuk kepada peningkatan pemanasan cuaca.

''Kementerian telah mengarahkan semua agensi berkaitan supaya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,'' katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Douglas merasmikan program Menghijaukan Genting sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di First World Plaza di Genting Highlands di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Bahagian Operasi, Resort World Bhd., Kevin Sim. Tambah beliau, sebagai langkah pencegahan, pihaknya secara berterusan meningkatkan aktiviti pemantauan melalui udara dengan kerjasama unit udara polis dan syarikat penerbangan swasta bagi mengesan pembakaran terbuka.

Katanya, tumpuan pemantauan adalah di kawasan paya gambut serta tapak pelupusan sampah kerana sebarang pembakaran terbuka boleh memudaratkan lagi pemanasan cuaca.

Dalam pada itu, Douglas memberitahu, kesan daripada pemanasan cuaca kini sudah mula dirasai apabila beberapa kawasan di Semenanjung dilanda jerebu.

Katanya, kualiti udara di kebanyakan kawasan di seluruh negara pada masa ini merosot dengan Indeks Pencemar Udara (IPU) direkodkan antara 51 hingga 100.

''Jarak penglihatan pada semalam di beberapa kawasan tertentu seperti Seberang Prai, Bayan Lepas, Subang, Petaling Jaya, Melaka dan Kuantan merosot iaitu antara 6 hingga 9 kilometer (km). ''Malah, laporan satelit yang diperoleh dari Pusat Meteorologi ASEAN (ASMC) sehingga 7 Jun menunjukkan 125 titik panas dikesan di Malaysia selain terdapat peningkatan titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia,'' jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka atau terpaksa berdepan dengan kompaun serta tindakan undang-undang.

Bercakap mengenai program Menghijaukan Genting, Douglas berharap lebih banyak pihak swasta tampil melaksanakan tanggungjawab sosial bagi memelihara kualiti alam sekitar.

Tegasnya, kurangnya kesedaran dalam menjaga alam sekitar hanya akan menyebabkan negara terdedah kepada pelbagai bencana alam.

Sementara itu, Kevin menjelaskan, pihaknya membelanjakan RM11 juta dalam usaha menghijaukan pusat peranginan berkenaan.

Menurutnya, walaupun Genting Highlands terkenal sebagai pusat peranginan tetapi hanya empat peratus daripada keseluruhan 4,000 hektar kawasan hutan di kawasan itu diterokai bagi tujuan peranginan.

No comments:

ahmad din