IKLAN

Orang hebat!

Sunday, December 20, 2009

Salam Maal Hijrah 1431H.



Assalamualaikum dan Salam Maal Hijrah 1431H. Maafkan segala kesalahan lalu, mari berusaha menuju kejayaan.


Harap masih belum terlambat lagi untuk saya ucapkan salam maal hijrah. Ingin saya imbas kembali bahawa peristiwa yang sinonim dengan sambutan maal hijrah ini adalah bersempena peristiwa hijrah yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.. Peristiwa hijrah ataupun perpindahan ini adalah langkah permulaan kepada satu kejayaan yang penuh dengan dugaan yang pahit dan perlu ditempuhi dengan tahap kesabaran yang tinggi.


Sepertimana yang telah diceritakan dalam banyak riwayat banyak perkara yang telah berlaku ketika berlakunya peristiwa hijrah ini. Antaranya ialah bagaimana Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar berlindung di Gua Thur. Selain itu di dalam peristiwa hijrah ini juga turut didirikan sebuah masjid yang diberi nama Masjid Quba' (masjid yang didirikan di atas dasar taqwa).


Namun demikian, dalam zaman ini kita juga dituntut untuk melakukan hijrah. Tetapi bukannya hijrah setahun sekali. Tetapi hijrah disetiap hari selagi kita masih bernafas di bumi ini. Hijrah ini perlu disambut dan dibuat oleh semua golongan tidak mengira latarbelakang sosial malahan umur sekalipun.


Sebagai seorang anak perlu berhijrah menjadi anak yang soleh setiap hari. Sebagai seorang ayah dan ibu mereka perlu berhijrah menjadi ayah dan ibu yang misali. Sebagai seorang pekerja, guru, pensyarah dan pemimpin sekalipun kita perlu melakukan hijrah pada setiap hari bagi memastikan kita melakukan perkara yang tidak sia-sia dan diredhai oleh Allah.


Direkodkan oleh Abdullah bin Amr r.a: "Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda yang maksudnya: Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT."

No comments:

ahmad din